KPM tidak terlibat penamatan pekerja bersih sekolah - Utusan Malaysia

KPM tidak terlibat penamatan pekerja bersih sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Jan.- Penamatan dan pengurangan serta pengambilan pekerja kontrak pembersihan dibuat oleh syarikat terlibat dan bukannya Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah tenaga pekerja kebersihan bergantung kepada syarikat dilantik untuk perkhidmatan kerja kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) sekolah atau institusi pendidikan dengan mematuhi syarat serta skop ditetapkan dalam kontrak.

“Selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan kerajaan diamalkan sekarang, kementerian telah mengubah skop kontrak perkhidmatan kerja kebersihan bagi syarikat yang kontraknya berkuatkuasa 1 Januari.

“Di bawah skop lama, penentuan bilangan pekerja mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama, namun kriteria tersebut tidak lagi digunakan di dalam penentuan bilangan kontrak KBK bermula tahun ini,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, di bawah skop baharu, bilangan pekerja kebersihan ditetapkan adalah sekurang-kurangnya dua orang untuk sekolah kurang murid (SKM) iaitu sekolah kurang 150 orang dan mengambil kira keperluan minimum iaitu seorang pekerja bagi pembersihan bangunan dan seorang lagi untuk pembersihan kawasan dan landskap.

“Walau bagaimanapun, untuk sekolah bukan kategori SKM, bilangan pekerja bergantung kepada keluasan sekolah, bilangan blok, aras setiap blok dan jumlah bilik air.

“Skop kontrak perkhidmatan ini hanya melibatkan syarikat-syarikat baharu bagi menggantikan syarikat telah tamat kontrak pada 31 Disember lalu,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan menambah, syarikat terlibat biasanya boleh mengatur para pekerjanya mengikut keperluan kontrak kerja yang tidak hanya bergantung kepada projek kebersihan sekolah.

“Sehubungan itu, syarikat diberikan kontrak dinasihatkan menjaga kebajikan para pekerja masing-masing,” ujar kenyataan sama lagi.

Berhubung dakwaan supaya murid turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan, Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut, sebaliknya tiada halangan sekiranya terdapat sekolah yang ingin menugaskan mereka bagi melaksanakan kerja pembersihan yang mudah.

“Di samping itu, ia mesti dengan pengawasan guru dan tidak mengabaikan aspek keselamatan dan bukan dengan tujuan menggantikan pekerja kebersihan,” kata kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN