KPM nafi Bantuan Makanan Asrama dipotong 72 peratus - Utusan Malaysia

KPM nafi Bantuan Makanan Asrama dipotong 72 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan peruntukan Bantuan Makanan Asrama (BMA) dipotong sehingga 72 peratus seperti yang tular di laman sosial.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan amalan sebelum ini, KPM menurunkan 72 peratus peruntukan BMA kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri manakala bakinya akan disalurkan pada bulan Julai depan.

Menurutnya, KPM akan mengamalkan pendekatan berhemah dalam menyediakan makanan mengikut standard yang ditetapkan kepada murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun peruntukan yang dipohon tidak diperoleh sepenuhnya dalam Belanjawan 2019.

“Pihak KPM juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam waktu terdekat bagi mendapatkan peruntukan tambahan bagi menampung keperluan tambahan kementerian ini,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini tular di laman sosial lampiran surat pekeliling Jabatan Pendidikan Negeri Perak bertarikh 11 Januari lalu dengan mendakwa BMA dipotong sebanyak 72 peratus berbanding tahun lepas.

Sementara itu, KPM memberitahu, butiran peruntukan yang diterima setiap kementerian termasuk KPM dalam Belanjawan 2019 boleh diperoleh di domain umum dan perkara itu bukanlah rahsia.

“Oleh itu dakwaan bahawa Menteri Pendidikan dan kementerian ini tidak memberi maklumat yang betul tidak timbul sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, KPM sekali lagi menegaskan bahawa pengiraan keseluruhan harga kontrak adalah berdasarkan bilangan murid dan lokasi sekolah.

“Penetapahan harga itu juga mengambil kira kontrak yang dianugerahkan melalui tender terbuka dan dipersetujui antara kontraktor dengan kerajaan,” katanya.

Tambahnya, bagi tender baharu yang dianugerahkan tahun ini, pelantikan kontraktor adalah secara kaedah tender terbuka melalui sistem ePerolehan sepenuhnya.

“Pemilihan kontrakor adalah berdasarkan kriteria-kriteria selaras dengan garis panduan, peraturan serta pekeliling berkaitan perolehan yang berkuat kuasa.

“KPM memilih kontraktor melalui kaedah tender terbuka di mana ia dilaksanakan secara telus dan penuh integriti,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN