PUTRAJAYA 29 Jan. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang penyelesaian secara holistik melalui dasar dan polisi baharu bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana (M40) turut mendapat peluang memiliki rumah mereka sendiri.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pun begitu, fokus terkini kementerian adalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah (B40) terlebih dahulu, kerana golongan itu merupakan yang paling terkesan dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara.
Beliau berkata, golongan B40 adalah mereka yang berpendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 ke bawah, sekali gus amat sukar untuk golongan ini mendapat peluang memiliki rumah sendiri sekiranya tidak diberikan perhatian serius dan dibantu oleh kerajaan dengan kadar segera.
“Namun begitu, bagi golongan M40, KPKT turut memberikan perhatian khusus dan terdapat kajian-kajian terperinci yang sedang dilaksanakan bagi mendapat makluman dan perincian sebelum satu pelan tindakan yang efektif dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zuraida, kementeriannya akan terus melaksanakan dasar dan polisi pembangunan yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang ekonomi.
Sebelum ini, pelbagai pihak meminta kerajaan untuk tidak melupakan golongan M40 memiliki rumah sendiri.
Antaranya, Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen dilaporkan berkata, sasaran sejuta rumah di bawah kerajaan Pakatan Harapan boleh dicapai namun sukar dilaksanakan.
Katanya, dasar perumahan yang strategik diperlukan supaya tidak meletakkan beban sepenuhnya kepada sektor swasta kerana ia akan menyebabkan subsidi silang untuk golongan sederhana (M40).
“Kerajaan tidak boleh hanya mahu memenangi hati golongan B40. Apa yang akan berlaku kepada M40? Jika terdapat terlalu banyak subsidi silang maka M40 akan menderita dan mereka juga tidak akan dapat membeli rumah,” katanya.
Malah, Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) turut menggesa kerajaan mengkaji semula kategori golongan isi rumah B40 dan M40 berdasarkan kos sara hidup masa kini. – UTUSAN ONLINE










