Baru-baru ini jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mencuri tumpuan apabila memuat naik gambarnya bersama seorang gadis comel dalam Instagram.
Biarpun tidak menyatakan secara terangan, namun ramai yang percaya gadis berkulit putih melepak itu adalah teman istimewa bintang pecut tersebut melihat kepada kata-kata yang ditulis Khairul Hafiz.
“Bila lagi@mimxaziz,” tulis Khairul Hafiz dengan diiringi emoji hati.
Gambar itu kemudian mengundang komen-komen positif daripada pengikut Khairul Hafiz yang mendoakan agar mereka cepat ke jinjang pelamin.
“Bila tarikhnya, tak sabar nak makan nasi minyak ni.. Hehehe,” tulis pemilik akaun Zulakmar_official, yang kemudian dibalas ringkas Khairul Hafiz: “Insya-Allah”.
“Kawinlah,” tulis Pokdiey_sza pula, dan dibalas ‘Insya-Allah bang’ oleh Khairul Hafiz.
Tahun 2019 adalah musim mencabar buat Khairul Hafiz kerana dia akan turun mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara yang dipegang apabila beraksi dalam Sukan SEA di Manila (30 November hingga 11 Disember).
Nama atlet kelahiran Merlimau, Melaka ini mula menjadi sebutan selepas memecah rekod 100 meter kebangsaan berusia 18 tahun dengan catatan 10.18 saat pada Sukan Malaysia 2016 di Sarawak.
Dia memadam rekod Watson Nyambek iaitu 10.30s yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 13 Julai, 1998.
Karier Khairul Hafiz semakin menyinar apabila muncul atlet Malaysia pertama dalam tempoh 14 tahun memenangi pingat emas 100m pada Sukan SEA selepas menewaskan juara bertahan, Eric Cray di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
Khairul Hafiz menamatkan penantian peminat sukan tanah air untuk melihat rakyat Malaysia menjuarai acara riben biru itu selepas kali terakhir dimenangi oleh Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.










