Khairul Dzaimee dilantik Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia baharu - Utusan Malaysia

Khairul Dzaimee dilantik Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baharu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, Khairul Dzaimee,47, berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan imigresen.

Jelasnya, beliau turut bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing serta hal ehwal pendaftaran negara semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha sejak Julai tahun lalu.

“Sebelum ini, beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, dan Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Khairul Dzaimee juga bertugas di Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan sebelum bertukar ke KDN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang berperanan untuk menangani isu pengaliran keluar wang secara haram berkuat kuasa 2 Januari lalu.

Sementara itu, Alwi turut berkata, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN, Datuk Jamil Rakon dikekalkan jawatannya.

“Ini berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan kementerian ini bagi memperkasa tadbir urus KDN.

“Kepakaran kedua-dua pegawai ini akan dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN