NEW YORK 12 Jan. – Kegilaan untuk meniru tarian mahu pun aksi selebriti yang menjadi trend dalam media sosial hanya mengundang padah apabila seorang remaja perempuan di Utah terbabit dalam kemalangan ketika mengambil bahagian dalam ‘Bird Box Challenge’, baru-baru ini.
Dalam kemalangan di Layton itu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun bersama seorang penumpang dan pemandu kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut tidak mengalami kecederaan serius.
BBC melaporkan, kegilaan berkenaan mula menular daripada filem Bird Box terbitan Netflix yang dibintangi oleh Sandra Bullock.
Menerusi cabaran itu, individu dikehendakki memandu sambil menutup mata dan polis Utah memberi amaran supaya pemandu di negeri ini tidak meniru aksi berbahaya tersebut.
“Ini adalah satu perkara yang tidak boleh diterima dan berbahaya bukan sahaja kepada diri anda tetapi pengguna jalan raya lain,” kata Leftenan Travis Lyman seperti dipetik oleh KSL.com.
Filem Bird Box mengisahkan tentang seorang ibu kepada dua kanak-kanak yang terpaksa memakai penutup mata bagi mengelakkan diri mereka melihat kuasa misteri yang memaksa manusia membunuh diri.
Watak ibu yang dipegang oleh Sandra cuba membawa anak-anaknya dikenali sebagai Boy dan Girl ke tempat selamat dengan memakai penutup mata.
Minggu lalu, Netflix memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan cabaran itu.
“Tidak percaya saya perlu menyatakan tentang ini, tetapi: Tolong jangan mencederakan diri anda dengan Bird Box Challenge.
“Kami tidak tahu bagaimana ini bermula dan kami menghargai segala kasih sayang yang diterima, namun Boy dan Girl mempunyai satu sahaja niat tahun ini, iaitu kamu tidak terlantar di hospital ekoran cabaran itu,” kata Netflix. – AGENSI








