SEGAMAT 28 Jan. – Sepasang suami isteri di Kampung Berata di sini merayu bantuan orang ramai mencari ibu kandung anak angkatnya bagi memudahkan urusan mengambil anak angkat secara sah.
Ahmad Zulfadli Zulkefli, 33, berkata, anak angkatnya, Nur Irdina Iman yang berusia satu tahun merupakan anak seorang warga Thailand, Pussadee Uthai yang menyerahkan sendiri kepadanya ketika berusia lima bulan.
“Pada 14 Mei tahun lalu, saya dimaklumkan oleh seorang pengawal keselamatan di Terminal Pengangkutan Awam Segamat bahawa seorang wanita Thailand berhasrat menyerahkan anak perempuannya kepada satu pusat jagaan di daerah ini.
“Saya kemudian terus berjumpa wanita tersebut kerana kami ketika itu sedang mencari anak angkat dan selepas berbincang dia bersetuju untuk menyerahkan anaknya kepada saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, ketika itu ibu kandung bayi tersebut hanya menyerahkan kepadanya buku rekod kesihatan bayi dan borang kelahiran daripada hospital selain memaklumkan kepadanya tidak mampu menjaga anaknya kerana mempunyai masalah dengan suami.
Katanya, wanita tersebut kemudian berjanji untuk berjumpa dia dan isterinya, Nor Hidayah Mohd. Esa, 30, untuk menyelesaikan surat penjagaan anak angkat secara sah selain sempat meminta nombor telefon bimbitnya bagi memudahkannya menghubungi wanita berkenaan.
“Namun, sehingga kini wanita tersebut tidak berjumpa kami dan nombor telefon yang diberikan kepada saya juga tidak dapat dihubungi dan disebabkan itu, saya terpaksa pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan daftar lewat sijil kelahiran.
“Saya dan isteri menjaga Nur Irdina bagaikan anak kandung sendiri dan sekarang kami perlu mendaftarkan Nur Irdina sebagai anak angkat yang sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Ujarnya, borang permohonan anak angkat juga tidak dapat diproses kerana mereka dikehendaki mencari ibu kandung Nur Irdina disebabkan beberapa masalah dokumen yang perlu diselesaikan melibatkan wanita warga asing tersebut.
“Kami kini buntu untuk mencari ibu kandung Nur Irdina yang gagal dihubungi dan proses urusan anak angkat ini sangat penting untuk masa depan Nur Irdina terutama daripada segi pendidikan yang hanya boleh diselesaikan sendiri oleh ibu kandungnya,” katanya.
Justeru dia meminta orang ramai yang mengenali ibu kandung atau waris terdekat Nur Irdina agar dapat menghubunginya menerusi talian 011-26494478.










