PUTRAJAYA 30 Jan.- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tetap dengan pendiriannya berhubung pelantikan 10 ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Menurut Mujahid, walaupun ahli-ahli lembaga itu terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahu pun ahli politik, tetapi pelantikan mereka berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman.
“Kebetulan yang merit itu bersama parti-parti tertentu, jadi kita tidak mahu menjadikan alasan kerana itu tidak lantik.
“Jadi kalau ada pun mereka bersama mana-mana parti politik, termasuk YB-YB (Yang Berhormat) itu secara kebetulan, yang kita ambil adalah pengalaman mereka, saya mahu mereka duduk dalam Yadim dapat ikut tiga gagasan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim di sini hari ini.
Ketika ditanya mengapa tidak dilantik melibatkan golongan mufti dan wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Mujahid menjelaskan tiada polisi berhubung perkara itu.
Beliau kemudian menjelaskan hanya satu senarai nama yang dikemukakan terhadap pelantikan ahli-ahli lembaga itu.
“Ya, hanya satu senarai dikemukakan,” katanya.
Sementara itu, Mujahid berkata, pihaknya berhasrat untuk mengambil tindakan tegas termasuk di dalam media sosial berhubung pertikaian pelantikan seorang ADUN DAP sebagai ahli lembaga Yadim.
Katanya, dakwaan tular yang mengatakan DAP tidak mengiktiraf agama Islam merupakan satu tuduhan melampau sedangkan parti itu bersama kerajaan pada hari ini.
“Kalau dalaman, kita ada prosedur iaitu menegur dia, jika melibatkan orang luar terutamanya di media sosial, tak semestinya tindakan daripada saya, mungkin daripada orang luar untuk buat laporan.
“Maka orang akan melihat ia satu politik jijik untuk melihat ini dengan satu agenda politik sempit,” katanya.
Terdahulu, ADUN DAP, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali diumumkan antara 10 ahli politik yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.
Selain beliau, enam individu daripada Amanah iaitu Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz; timbalannya, Zolkharnain Abidin, Datuk Abdul Ghani Shamsuddin; Ahmad Sayuti Bashiron, Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.
Dua lagi melibatkan wakil PKR iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan Ketua Bahagian Cheras Bersatu, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat. – UTUSAN ONLINE










