KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas di tasik Bandar Puteri di sini petang tadi.
Mayat, Tan Wei Xiang ditemukan pukul 7.12 petang kira-kira empat meter dari tebing tasik tersebut.
Ketua Balai Bomba Taman Sri Andalas, A. Romzi Abu berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa bermain bersama dua rakannya berhampiran tebing tasik tersebut.
Katanya, bagaimanapun mangsa dipercayai tergelincir ke dalam tasik sedalam tiga meter itu berikutan keadaan tepi tasik yang licin.
“Seramai 13 anggota termasuk dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian pukul 4.57 petang.
“Operasi pencarian bermula pukul 5.09 petang itu akhirnya berjaya menemui mangsa pukul 7.12 malam di tasik tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran susulan arus yang deras di laluan masuk tasik tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk proses bedah siasat. – K! ONLINE











