KUALA LUMPUR 29 Jan. – Setiap kanak-kanak yang mempunyai simpanan melebihi nisab yang ditetapkan wajib menunaikan zakat sama ada melalui ibu bapa mahupun penjaga.
Penolong Pengurus Unit Syariah dan Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat kurang kesedaran mengenai perkara tersebut kerana hanya mengetahui beberapa jenis zakat sahaja.
“Kebanyakan daripada mereka membuat tanggapan hanya zakat tertentu sahaja wajib ditunaikan sedangkan anak-anak mereka yang mempunyai simpanan melebihi nilai nisab juga perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus.
“Pada tahun ini, kita menetapkan nilai nisab RM13,968. Sekiranya simpanan anak-anak kita tidak melebihi nilai tersebut, maka tidak perlu membayar zakat simpanan mereka,” katanya dalam wawancara khas zakat wang simpanan di Wisma PPZ-MAIWP di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










