KUANTAN 21 Jan. – Jumaah Pangkuan Diraja Negeri dijadual mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan mengenai persiapan istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang yang baharu berikutan pelantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Sultan Pahang Keenam.
Satu sumber yang rapat dengan Istana Pahang memberitahu, mesyuarat itu dijadual bermula pukul 11 pagi di bangunan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan dekat sini.

Katanya, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah sendiri.
“Mesyuarat itu juga dijangka membincangkan mengenai persiapan-persiapan yang perlu dilakukan jika Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Ini termasuk soal pelantikan Pemangku Raja Pahang,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang, raja pemerintah semasa boleh melantik isterinya menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang dengan beberapa syarat termasuk pasangan baginda itu berdarah raja dan beragama Islam.
Seorang Waris Ganti atau Tengku Mahkota Pahang juga akan dilantik bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang Keenam.
Tengku Mahkota Pahang seterusnya mungkin bakal dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang jika Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 memandangkan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang yang baharu melayakkannya berada dalam senarai pemilihan jawatan tersebut.
Nama yang disebut-sebut bakal diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang ialah Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, 23, yang merupakan putera sulung Al-Sultan Abdullah.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong baharu berikutan peletakan jawatan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu akan diadakan di Istana Negara pada 24 Januari ini.










