Jinwar, perkampungan tanpa lelaki di Syria - Utusan Malaysia

Jinwar, perkampungan tanpa lelaki di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK di hujung jalan lurus berdebu di sebuah kawasan lapang utara Syria, kelihatan seorang wanita bersama sepucuk senapang pada bahunya sedang berkawal rapi di pintu masuk sebuah penempatan terpencil dikenali sebagai Jinwar.

Terdapat kira-kira 30 bangunan yang dihiasi dengan lakaran warna ungu dan biru di dalamnya. Perkampungan itu dikelilingi satu plot besar kawasan pertanian yang dipenuhi tanaman sayuran segar.

Zon perang mungkin tidak sesuai untuk membina dan membangunkan kawasan utopia feminis, tetapi di situ sekumpulan wanita membina sebuah tempat bagi membolehkan mereka menjauhkan diri daripada kemelut akibat konflik berpanjangan di negara berkenaan.

BANGUNAN dan rumah turut dibina sendiri oleh wanita yang tinggal di penempatan Jinwar, utara Syria.
BANGUNAN dan rumah turut dibina sendiri oleh wanita yang tinggal di penempatan Jinwar, utara Syria. 

Dibina kira-kira dua tahun lalu, penempatan berkonsep kendiri itu mempraktikkan undang-undang sepenuhnya bagi wanita manakala lelaki tidak dibenarkan tinggal di situ.

“Orang lelaki tidak dibenarkan di sini, hidup kami cukup baik. Tempat ini hanya untuk wanita yang mahu hidup berdikari,” kata seorang penghuninya,” Zainab Gavary, 28.

Jinwar adalah penempatan komuniti wanita yang terletak beberapa kilometer dari Qamishli, sebuah bandar di dalam wilayah Kurdistan.

SAYURAN antara produk yang menjadi pilihan untuk bekalan sendiri dan jualan. THE INDEPENDENT
SAYURAN antara produk yang menjadi pilihan untuk bekalan sendiri dan jualan. – THE INDEPENDENT 

Penempatan itu ditubuhkan oleh kumpulan wanita tempatan dan sukarelawan antarabangsa bagi memberi ruang untuk wanita teraniaya hidup bebas daripada kekangan struktur budaya kapitalisme.

Segala kemudahan dan perkhidmatan dikendalikan oleh wanita, malah, binaan rumah turut didirikan sendiri oleh golongan yang tinggal di kawasan itu.

Lukisan mural wanita menghiasi sekitar penempatan terpencil itu manakala di bahagian tengah terdapat taman bunga yang dikelilingi rumput kering.

Mangsa kekejaman Daesh

Usaha membina penempatan itu yang pernah berada dalam cengkaman Daesh beberapa tahun lalu, bukan secara kebetulan. Kumpulan pelampau itu telah menawan sebahagian besar wilayah di utara Syria ketika mara ke selatan dan timur Wilayah Kurdish sehingga melintasi sempadan Iraq.

ANTARA binaan rumah dan lain-lain kemudahan yang ada di penempatan
ANTARA binaan rumah dan lain-lain kemudahan yang ada di penempatan Jinwar.

Daesh membina pusat pemerintahan di Raqqa, hanya beberapa jam perja­lanan menaiki kereta dari Jinwar dan melakukan keke­jaman di bandar Sinjar, kira-kira 100 kilometer dari kampung terpencil itu. Ribuan suku Yazidis dibunuh manakala kaum wanita diculik untuk dijadikan hamba seks.

Berikutan tindakan ganas tersebut, ramai wanita Kurdish bangkit menentang kumpulan pelampau itu. Kisah perjuangan mereka turut mendapat perhatian masyarakat dunia.

Pengasas perkampungan Jinwar menyifatkan projek itu sebagai kesinambungan kepada gerakan ‘Revolusi Wanita’ yang menyeru golongan itu untuk sama berjuang menentang rejim pengganas.

Walaupun dunia menge­tahui tentang kelangsungan hidup bangsa Kurds yang antaranya memaparkan perjuangan golongan wanita, tetapi masyarakat Kurdish masih berpegang kepada tradisi konservatif.

Jinwar dibina untuk wanita yang ingin menyelamatkan diri daripada kongkongan tradisi suami berkuasa mut­lak dalam rumah tangga yang diamalkan di negara itu.

AMIRA MUHAMMAD bersama lima anaknya tinggal di penempatan Jinwar. THE INDEPENDENT
AMIRA MUHAMMAD bersama lima anaknya tinggal di penempatan Jinwar. THE INDEPENDENT 

Seorang daripada mereka, Gavary, pernah berkahwin ketika muda tetapi suaminya meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Sebagai usaha memper­kasakan peranan wanita dalam masyarakat, Jinwar turut mempromosikan kehidupan berasas­kan sistem ekologi dan perkongsian sebagai alter­natif kepada kehidupan moden.

Selain itu, Jinwar menawarkan perlindungan kepada wanita yang mahukan sokongan khususnya yang kehilangan orang tersayang.

Sementara itu, balu yang menjadikan Jinwar sebagai tempat tinggal, Amira Muhammad, 30, berkata, dia kehilangan suami akibat terkorban ketika berjuang menentang Daesh.

“Saya datang ke sini bersama lima anak dan tidak mempunyai sumber pendapatan atau rumah untuk tinggal. Di sini mereka berikan banyak kemudahan seperti pendidikan untuk kanak-kanak serta sumber pendapatan.

“Setiap wanita memiliki lot bertani masing-masing. Kami menjual hasil tanaman itu dan digunakan untuk menampung keperluan masing-masing,” katanya.

Selain berstatus balu, penduduk di penempatan itu juga adalah mereka yang bercerai dan memilih untuk menjalani kehidupan berdikari.

Nisreen Qadir, 17, bersama adik perempuannya mengakui selamat tinggal di Jinwar walaupun terdapat kelemahan menjalani kehidupan terpencil.

“Kehidupan di sini ada ketikanya membosankan, tetapi ini mengajar kami hidup berdikari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN