Jasmin kotakan janji anak - Utusan Malaysia

Jasmin kotakan janji anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini, anak teruna pelakon Jasmin Hamid semakin mendapat perhatian ramai. Susuk fizikal tubuh dan ketampanan Ian Haziq MacQuistan, 18, diperkatakan selepas acap kali mendedahkan wajahnya dalam laman sosial.

Satu-satunya waris tunggal perkahwinannya dengan Ian Rashid MacQuistan, semuanya diperkatakan gara-gara memiliki wajah kacukan Melayu-Scotland yang mencairkan banyak hati wanita.

Bagaimanapun, bintang filem Boss itu awal-awal lagi sudah memberi amaran agar tidak leka dengan segala pujian diberikan. Haziq perlu bersikap lebih realistik berurusan dengan orang sekelilingnya selepas ini.

Tambahan pula selepas Haziq melangkah masuk dalam industri hiburan. Jasmin tidak mahu dia hanyut dengan populariti yang tidak menjaminkan apa-apa buat seorang insan seni.

“Haziq menyuarakan hasrat untuk menjadi pelakon sejak berusia 16 tahun lagi. Tapi saya tak membenarkannya. Dia perlu menghabiskan pelajarannya terlebih dahulu kalau nak jadi pelakon.

“Kini selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya kotakan janji. Anak dah minat nak jadi pelakon, tak salah kalau saya tunaikan impiannya itu,” ujar Jasmin, 46.

Mempermudahkan laluan untuk mencipta nama, Jasmin juga mengakui menggunakan pengaruh yang dimiliki sebagai permulaan. Semua itu dibuat untuk memastikan Haziq tidak tersalah langkah.

Sebagai insan seni yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam industri hiburan, pelakon drama Lara Aishah ini tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Perasaan ibu tetap sama setiap kali anaknya melangkah masuk ke dalam dunia kerjaya. Saya mahu melihat perjalanannya sempurna. Sebab itu bantu dia menapak dalam industri lakonan buat sementara waktu.

“Apabila sudah stabil setahun dua nanti, pandai-pandailah membawa diri. Saya perlu terima hakikat untuk melepaskan dia untuk berdikari satu masa nanti,” katanya.

Fotografi Jasmin dan Haziq ini adalah julung kali ditampilkan dalam akhbar tempatan. Pancaindera menjadi sisipan akhbar pertama menyiarkan gambar dua beranak ini untuk tatapan umum.

Dulu sembunyi

MENGAKUI agak tertutup dalam urusan anak dan keluarga satu masa dahulu, namun pendiriannya diubah atas sebab-sebab tertentu. Sebenarnya, Jasmin tidak boleh berkompromi soal keselamatan mereka.

Khuatir jika ada perkara yang tidak diingini berlaku, pelakon drama Joyah ini kurang selesa mendedahkan perihal tersebut. Keadaan di sekeliling menjadi faktor utama dia berwaspada sentiasa.

“Saya sengaja menyembunyikan anak-anak masa kecil dulu. Saya nak mereka hidup normal seperti kanak-kanak lain tanpa bayangan kerjaya glamor ibu mereka.

“Kini selepas semuanya sudah dewasa, saya ubah cara hidup sedia ada. Atas persetujuan bersama, saya mendedahkan anak-anak saya secara umum. Itu pun atas persetujuan kami anak beranak,” katanya.

Jasmin juga memiliki dua orang anak angkat, Rohana, 31, dan Lukhman Hakim, 24. Bagaimanapun mereka tidak menunjukkan minat untuk berkongsi kerjaya sama seperti Jasmin.

Tutup mulut

MEMBICARAKAN status perkahwinannya, Jasmin menegaskan perkara tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi. Ini kerana dia tetap dengan pendirian sebelum ini untuk tidak mengulas isu berkenaan.

“Saya tidak akan menunjukkan ‘senjata’ untuk mereka menembak kembali kebahagiaan saya. Ini kerana dalam dunia ini tidak semua orang sukakan kita waima gembira melihat kejayaan yang ada.

“Manusia ini ada macam-macam ragamnya. Jadi saya perlu ambil pendekatan selamat. Tidak akan membuka mulut perkara membabitkan soal status ini,” tegasnya lagi.

Jasmin berkahwin dengan Ian Rashid pada 15 Januari 2000 sebelum berpisah pada 4 Februari 2008. Ada dakwaan mengatakan mereka sudah pun berkahwin semula tetapi dinafikan aktres itu.

Ibu inspirasi saya!

BEKAS pelajar Asia Pacific Smart School, Subang Selangor ini sudah menunjukkan minat dalam bidang seni sejak kecil lagi. Malah ketika zaman persekolahannya, dia juga aktif dalam aktiviti kesenian selain sukan.

Haziq mengakui wanita itu yang menjadi inspirasi utamanya untuk memasuki dalam bidang seni. Melihat sendiri susah payah ibunya membesarkan dirinya sejak kecil, Haziq nekad membalas budi wanita itu.

Ada banyak lagi pilihan profesion lain seperti peguam, doktor dan jurutera, kenapa masih nak pilih bidang ini?

Haziq: Saya ada perancangan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penyiaran filem satu hari nanti. Sekarang ini adalah masa untuk saya mencari pengalaman dalam bidang berkaitan sebelum belajar di universiti.

Kenapa nak sangat menjadi pelakon sedangkan Haziq tahu banyak pancaroba dalam dunia artis ini?

Haziq: Semuanya kerana minat sebab sejak kecil lagi saya sudah melihat ibu berlakon. Ketika saya dalam perutnya lagi, ibu sudah membawa ke lokasi penggambaran. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Saya nekad nak ikut jejak langkah seperti ibu walau macam mana caranya pun.

Maksudnya Haziq tahu banyak risiko yang perlu diambil terutama dalam soal privasi jika bergelar artis?

Haziq: Saya tahu semua itu. Tapi dia juga yang memberi inspirasi untuk menjadi manusia lebih kuat lagi. Banyak nasihat yang diberi sebagai persediaan untuk melangkah masuk dalam industri. Waima sepanjang bulan lalu, saya banyak mengkaji tentang dunia artis termasuklah jadual kerja, syarikat produksi tempatan dan watak-watak bersesuaian dengan saya. Semua ini dibuat sebagai persediaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN