KOTA BHARU 7 Jan. – Masyarakat diminta menghentikan spekulasi mengenai peletakan keputusan Sultan Muhammad V turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke XV sebaliknya perlu menghormati keputusan itu sebagai hak baginda.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak ada sesiapa boleh mempersoalkan keputusan itu walaupun baginda tidak memberikan sebarang sebab.
Mengenai tular bahawa Sultan Muhammad V melepaskan takhta berikutan ura-ura perkahwinan dengan seorang wanita Rusia sekali gus bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Mohd Amar menegaskan tidak ada halangan untuk baginda jika mahu berkahwin dengan sesiapa sahaja.
“Tidak ada orang tahu, dan baginda pun tidak sebut, cuma bagitahu baginda turun takhta, jadi tidak elok kita buat sebarang spekulasi, tak ada guna kita cari sebab, nak buat apa, bagi saya, saya terima macam itu sahaja
“Adapun soal kahwin itu tidak ada masalah, peraturan yang ada dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan adalah mengenai pelantikan Raja Perempuan, bukan peraturan tidak boleh (sewenang-wenang) berkahwin dengan sesiapa, itu ada beza,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha yang dilakukan untuk meredakan spekulasi yang berlegar dalam masyarakat, Mohd Amar berkata, pihaknya tidak dapat memberi apa-apa penjelasan untuk rakyat kerana Kerajaan Pas Kelantan juga tiada sebarang maklumat.
“Kita nak jelaskan apa kerana kita (kerajaan) tak tahu, sebab itu bila kita tak tahu kita jangan buat spekulasi, perangai kita manusia ini suka sangat buat spekulasi,apa faedahnya kepada kita? Kalau benda tak ada faedah lebih baik kita duduk diam daripada buang masa buat spekulasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










