Jangan mansuh POCA, POTA - KPN - Utusan Malaysia

Jangan mansuh POCA, POTA – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 30 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan agar Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) tidak dimansuhkan meskipun perkara tersebut se­bahagian daripada janji Pakatan Harapan sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ber­­­­kata, sebaik-sebaiknya undang-undang itu ditambah baik di bahagian-bahagian tertentu yang dirasakan perlu bukan memansuhkan secara keseluruhan.

Menurutnya, undang-un­dang ini masih diperlukan khu­­­susnya untuk mengekang isu-isu berkaitan gengste­risme; sindiket berkumpulan dan perkara sensitif lain yang memerlukan undang-undang tersebut diguna pakai.

“Kalau tidak ada (undang-undang ini) kita akan menghadapi masalah untuk melaksanakan tindakan pencegahan dan memben­dung kegiatan yang boleh me­ngancam keselamatan rakyat.

“Itu pandangan kita supaya undang-undang ini dikekalkan dan kalau ada perkara ditambah baik. Jangan mansuh ke­seluruhannya. Kita juga ada bagi cadangan bahagian-bahagian tertentu yang boleh ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pi­ngat Jasa Pahlawan Negara 2018 Kontinjen Perlis di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Po­lis negeri, Senior Asisten Komisio­ner, Noor Mushar Mohd.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kajian pemansuhan POCA dan penambahbaikan POTA sedang dimuktamadkan sebelum dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

Muhyiddin, menjelaskan, di peringkat Kabinet mereka memegang janji di dalam manifesto Pakatan Harapan bahawa POCA dimansuhkan dan POTA ditambah baik bagi memberi keadilan lebih telus.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi memberitahu, barisan panel yang akan menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes penyeludupan manusia di Wang Kelian, Padang Besar akan dilantik bulan depan.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia menjadi urusetia dalam pendengaran di dalam RCI tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×