Jaga integriti kehakiman - Utusan Malaysia

Jaga integriti kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada tahun 2004 dalam kes Tarak Singh lawan Jyoti Basu (India) ada menyatakan bahawa: “Oleh kerana jawatan yang kami (hakim) sandang mempunyai kuasa yang besar, tiada autoriti lain boleh mengawal kami. Oleh itu, adalah sebab utama kenapa perlu para hakim menjaga disiplin mereka sendiri pada tahap yang tinggi.”

Profesor undang-undang, Jeffrey M Shaman dalam artikel beliau bertajuk Etika Kehakiman menyatakan bahawa kuasa seseorang hakim dalam sesuatu masyarakat adalah seperti berikut:- “Judges are important public officials whose authority reaches every corner of society. Judges resolve disputes between people, and interpret and apply the law by which we live. Through that process, they define our rights and responsibilities, determine the distribution of vast amounts of public and private resources, and direct the actions of officials in other branches of government”

Hakim adalah penjawat awam yang mana kuasa mereka mencapai ke setiap sudut dalam kehidupan masyarakat. Hakim menyelesaikan pertelingkahan antara pihak-pihak dan menterjemah serta mengguna pakai undang-undang yang digunakan dalam kehidupan.

Melalui proses itu, mereka mentakrifkan berkenaan hak dan tanggungjawab, menetapkan pembahagian sumber-sumber awam dan persendirian dan juga mengarahkan tindakan-tindakan pihak dalam pelbagai cabang di dalam kerajaan.

Pada 2009, Kerajaan Malaysia menggubal Kod Etika Hakim 2009 iaitu bertujuan sebagai garis panduan para hakim yang dilantik.

Pada Bahagian Peraturan 1 Kod etika ini menyatakan bahawa:- 2.(1) Kod ini bertujuan menetapkan standard asas untuk mengawal tata kelakuan semua hakim dan jadi bimbingan pada hakim dalam membentuk dan memelihara budi pekerti dan tata kelakuan kehakiman yang tinggi. Dua perkara yang dititik berat dalam perkara di atas adalah:

a)Pemeliharaan budi pekerti yang tinggi.

b)Tata kelakuan kehakiman yang tinggi.

Kod ini terbahagi kepada dua kategori:

Di dalam menjalankan tugas kehakiman – Iaitu antaranya tindakan semasa mengadili kes-kes di hadapan mereka dengan adil dan cekap dan tidak menunjukkan bahawa mereka memihak pada sesiapa.

Di luar aktiviti kehakimannya -Iaitu antaranya mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah, aktiviti politik atau apa-apa yang memberikan gambaran bahawa hakim tersebut terlibat di dalam aktiviti politik.

Kod ini sebenarnya adalah untuk memastikan keadilan bukan sahaja dapat diadili secara telus malah dilihat sebagai sesuatu perbuatan yang telus berdasarkan demi mendukung integriti dan kebebasan kehakiman yang adalah antara tunggak utama dalam sesuatu kerajaan yang mengamalkan demokrasi.

Ini sesuai sebagaimana yang dinyatakan oleh Tun Salleh Abas (Ketua Hakim Negara semasa itu). The Role of the Independent Judiciary by Tun Salleh Abas on December 17, 1988 as follows:

“When the judiciary decides against authority there is no question of its being superior to Parliament or the Executive; the three branches are co-equal partners, each branch being like the leg of a three-legged stool. When the judiciary decides against the authority it is simply doing its duty under the Constitution which expresses the will of the people just as when it decides for authority.

Dalam erti kata lain apabila badan kehakiman membuat keputusan bertentangan dengan pihak yang berkuasa ia bukanlah bermakna mereka berkuasa daripada Parlimen ataupun daripada eksekutif tetapi mereka adalah daripada tiga cabang yang berkongsi sama rata.

Setiap cabang umpama sebuah bangku yang mempunyai tiga kaki. Apabila badan kehakiman membuat keputusan bertentangan dengan pihak berkuasa ia hanya kerana tanggungjawab mereka terhadap Perlembagaan yang menyatakan secara lahir hasrat rakyat sama seperti jika mereka membuat keputusan memihak pada pihak berkuasa.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Shariff juga pernah menyatakan sedemikian bahawa badan kehakiman tidak perlu menjawab kepada mana-mana pihak selain daripada Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa etika ini perlu dipatuhi oleh badan kehakiman?

1.Bahawa pihak yang ingin diadili harus berpendapat dan yakin mereka akan mendapat hak sama rata.

2.Keyakinan daripada orang awam bahawa cara akan mendapat perlindungan terhadap hak-hak mereka sebagaimana termaktub di bawah undang-undang.

3.Akauntabiliti kehakiman juga memainkan peranan utama dalam melaksanakan tugas-tugas mereka terhadap pihak yang diadili.

Oleh itu, adalah penting bagi badan kehakiman ini menurut kod etika sebagaimana yang termaktub di bawah Kod Etika Kehakiman 2009. Apa yang berlaku jika kod etika ini tidak dipatuhi?

Dalam Kod Etika Kehakiman 2009 ini pada Peruntukan 4 (2): Perlanggaran mana-mana peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan kod ini.

Apakah sanksi yang boleh dilakukan terhadap hakim yang melanggar Kod Etika Kehakiman 2009 ini? Peruntukan 16(1) menyatakan bahawa:-

a)Merekodkan teguran terhadap hakim tersebut.

b)Menggantung hakim daripada jawatannya bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

Dalam menjaga integriti kehakiman pada 2009 juga diwujudkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman iaitu sebuah suruhanjaya yang memastikan para hakim dilantik menurut standard tinggi yang ditetapkan.

Kesimpulannya, kod etika kehakiman dan pemilihan hakim di bawah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman harus menepati satu standard atau ukuran yang tinggi dalam pelantikan seseorang hakim.

Dan sebagai satu cabang yang penting di dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi integriti kehakiman tidak boleh dipandang remeh.

PENULIS ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN