JOHOR BAHRU 24 Jan. – Kerajaan negeri merancang untuk memperkenalkan insentif istimewa bagi menarik lebih ramai pelabur membuat pelaburan di daerah yang kurang menjadi tumpuan seperti di utara negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perkara tersebut sedang diperhalusi dan akan dirancang menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Johor yang akan dibentuk bagi mendapatkan pandangan pakar.
“Sebagai contoh, kalau mereka buka kilang dan melabur di daerah yang kurang mendapat perhatian tadi, pengecualian cukai selama lima tahun akan kita berikan tapi kalau pelaburan hanya tertumpu di selatan negeri ini, kita akan beri dua tahun.
“Selain itu, kita akan pastikan peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat tempatan dan gaji juga kita mahu tidak kurang daripada RM1,500. Jadi, kalau ia dapat dipenuhi, insentif akan diguna pakai,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke YPJ Holdings Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.
Osman berkata, jawatankuasa ekonomi tersebut akan melibatkan penyertaan daripada pakar ekonomi, dewan-dewan perniagaan selain wakil daripada kerajaan negeri seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor.
Tambahnya, dengan adanya jawatankuasa itu kelak, mereka akan bersidang sebulan sekali termasuk membincangkan mengenai insentif istimewa yang akan diperkenalkan kepada pelabur yang membuat pelaburan di utara negeri ini.
“Daripada segi rangka sudah ada tapi pengisiannya kita sedang siapkan dan mungkin dalam tempoh sebulan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










