Hew Kuan Yau dilantik sebagai CEO MCBC - Utusan Malaysia

Hew Kuan Yau dilantik sebagai CEO MCBC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Bekas Ketua DAP Bahagian Teluk Intan, Hew Kuan Yau yang terkenal dengan ungkapan ‘guna Melayu untuk skru Melayu’ sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan China-Malaysia (MCBC).

Pelantikan Kuan Yau yang berkuat kuasa 1 Februari itu diumumkan Pengerusi MCBC merangkap Pengerusi DAP yang juga Duta Khas ke China, Tan Kok Wai.

“Pelantikan Kuan Yau sebagai CEO untuk menggalakkan lagi perniagaan MCBC, mengukuhkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan China selain memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kuan Yau seorang pakar tentang China kerana mempunyai pengalaman pengurusan perniagaan di negara itu dan pernah belajar di Guangzhou serta Hong Kong selain mempunyai ijazah kedoktoran dari Universiti Cina Hong Kong,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today, hari ini.

Tambah Kok Wai, Kuan Yau juga calon yang kompeten untuk jawatan tersebut kerana beliau memahami diplomasi antarabangsa, memandangkan pengalaman dan penglibatan dengan Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa.

MCBC yang diperbadankan daripada Majlis Perniagaan Bersama China – Malaysia (JBC) memainkan peranan sebagai penyedia khidmat nasihat dan maklumat perniagaan untuk usahawan tempatan di China dan usahawan Tembok Besar itu di Malaysia.

Pada Julai 2016, Kuan Yau mengumumkan keluar DAP ekoran kenyataannya dalam akaun Facebook miliknya bahawa Laut China Selatan milik China.

Kenyataan kontroversi itu dibuat ketika pertikaian menuntut kawasan perairan tersebut melibatkan negara komunis itu dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, Kuan Yau yang turut dikenali sebagai ‘Superman Hew’ kerana kegemarannya memakai baju dengan logo wira komik itu pernah mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai kuda tunggangan DAP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×