Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya esok - Utusan Malaysia

Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 5 Jan. – Selaras aspirasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat Persiaran Perdana, di sini menjadi seperti Champs-Élysées di Perancis, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) sekali lagi akan menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya (Putrajaya Car Free Day) di Dataran Putrajaya, Presint 3 esok.

PPj dalam satu kenyataan memberitahu, program bermula pukul 7 pagi hingga 5 petang yang diadakan setiap minggu pertama setiap bulan itu akan menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk warga Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan termasuk Kayuhan Ceria, Langkahan Ceria serta zumba.

“Selain itu, aktiviti menarik melibatkan aktiviti ‘skate’ melibatkan kasut roda dan papan selaju turut diadakan merangkumi ‘skate challange’, ‘skate clinic’ dan ‘inline speed challange’,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi perbadanan hari ini.

Dr. Mahathir pada 2013 telah menyatakan aspirasinya untuk menjadikan Persiaran Perdana seperti Champs-Élysées namun dilihat tiada kedai-kedai di sepanjang jalan tersebut dan ia menjadi sunyi khususnya selepas waktu kerja apabila semua pejabat tutup.

Champs-Élysées adalah sebuah lebuh terletak di Paris yang dihiasi dengan panggung, kafe dan kedai-kedai telah dinamakan sebagai salah satu jalan paling terkenal di dunia.

Hari Tanpa Kenderaan Putrajaya yang diadakan buat kali pertama pada bulan lalu menyaksikan sambutan positif daripada warga Putrajaya dengan kehadiran kira-kira 2,000 peserta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN