KUALA LUMPUR 23 JAN. – PENGELUAR bon Islam terbesar di dunia menjangkakan pengeluaran sukuk meningkat pada 2019 berikutan kerajaan dalam ekonomi yang menghasilkan minyak berusaha mengisi kekurangan bajet selepas harga minyak mentah merosot tahun lalu.
CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) dan Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang menduduki tempat pertama dan ketiga sebagai pengurus bon Islam pada 2018, menjangkakan penerbitan sukuk global meningkat tahun ini, tanpa memberi nombor tertentu.
Menurut data Bloomberg, jualan sukuk merosot kepada AS$45.7 bilion (RM189 bilion) tahun lalu berbanding AS$56 bilion (RM231.6 bilion) pada 2017.
Ketua Perbankan Pelaburan Maybank, Caroline Teoh menjangkakan angka pada tahun ini akan bertambah baik selepas melalui 2018 yang lemah.
“Permintaan untuk kredit yang berkualiti dan aset patuh syariah akan berterusan, memandangkan kenaikan kadar faedah mengurangkan kecairan dan memaksa penerbit sukuk mencari sumber pembiayaan alternatif,” katanya kepada Bloomberg.
Bagaimanapun, menurutnya, tawaran terbitan sukuk di Asia Barat mungkin berubah-ubah bergantung kepada harga minyak mentah dunia.
Malaysia yang merupakan pasaran sukuk terbesar berhadapan dengan defisit bajet yang semakin meluas selepas harga minyak mentah Brent merosot 20 peratus tahun lalu berikutan kebimbangan bekalan minyak dan kelembapan ekonomi global serta pengurangan hasil daripada cukai penggunaan.
Brent melonjak 14 peratus tahun ini kepada AS$61.50 (RM254.40) setong, yang mungkin menjejaskan jualan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, penerbit sukuk terbesar selepas Malaysia.
Sementara itu, beberapa pemain industri memberi pandangan bercampur berkenaan sukuk dengan kebanyakan daripada mereka melihat harga minyak mentah menjadi faktor ketidakpastian berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Rafa Haneef berkata, pihaknya melihat perbelanjaan infrastruktur akan memacu penerbitan sukuk di Asia Barat dan Malaysia.
“Ketidakpastian terbesar adalah ke mana harga minyak akan pergi?” kata Mohamed Damak, Ketua Kewangan Islam Global di S&P Global Ratings.
“Senario kami untuk minyak pada harga purata AS$55 (RM227.56) setong bermakna lebih banyak keperluan pembiayaan daripada pasaran sukuk diperlukan bagi bajet pembiayaan dan infrastruktur,” katanya.










