Harga makanan laut terutama ikan tidak akan mengalami kenaikan - Utusan Malaysia

Harga makanan laut terutama ikan tidak akan mengalami kenaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bahawa harga makanan laut terutama ikan tidak akan mengalami peningkatan walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihak LKIM telah membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan stok ikan mencukupi

“Kita jamin harga ikan tidak akan naik sebab kita ada membuat persediaan awal bagi memastikan stok adalah mencukupi, pihak LKIM menerusi pelbagai pihak di bawah agensi ini ada menyimpan dan menambah stok ikan dan kita juga ada bekalan ikan sejuk segar dengan harga murah, jadi usaha yang kita buat itu akan dapat menstabilkan harga ikan.

“Kita tidak ada satu punca kuasa untuk menetapkan harga ikan di pasaran jadi kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan tidak ada kenaikan harga mendadak, tapi di peringkat LKIM apa yang kita mampu lakukan ialah kita akan memastikan bekalan ikan mencukupi dan harga ikan stabil terutama pada musim tengkujuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga mengambil langkah bagi menghadkan pengeskportan ke luar negara bagi memastikan bekalan makanan itu di dalam negara mencukupi.

“Sepanjang Januari dan Februari ini, kerajaan telah hadkan pengeksportan beberapa jenis ikan ke luar negara seperti ikan kembong, bawal dan sebagainya. Usaha ini untuk memastikan ikan dalam negara mencukupi, ada juga peniaga yang eksport ke luar tapi kita telah arahkan untuk hadkan eksport ikan berkenaan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, beliau menjangkakan harga makanan laut terutamanya ikan akan mengalami kenaikan harga.

“Ya, kita jangkakan harga ikan akan naik terutamanya bekalan ikan segar susulan keadaan cuaca buruk kebelakangan ini, angin kencang, ribut dan sebagainya yang menyukarkan para nelayan untuk ke laut, tetapi harga ikan akan turun apabila cuaca kembali seperti biasa.

Tambahnya, bagaimanapun, harga barangan makanan lain tidak akan terjejas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN