Harapan harga petrol turun musnah - Utusan Malaysia

Harapan harga petrol turun musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Rakyat Malaysia memulakan tahun 2019 dengan kekecewaan apabila harapan agar harga petrol diturunkan tidak berlaku.

Sebaliknya kerajaan menge­kal­kan harga runcit petrol RON95 pada paras RM2.20 seliter, RON97 pada harga RM2.50 seliter manakala diesel RM2.18 seliter, sekali gus tidak menepati komitmen menetapkan harga jualan secara mingguan yang bakal menyaksikan penurunan harga petrol.

Perkembangan itu juga dilihat seperti tidak ‘mengendahkan’ Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang minggu lalu mencadangkan penetapan harga petrol secara mingguan bagi membolehkan rakyat menikmati harga minyak mentah dunia yang menurun pada masa ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga produk-produk petroleum itu adalah dikekalkan buat masa beberapa hari dengan penetapan harga terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun 2019.

Katanya, kerajaan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penuru­nan harga petroleum di pasaran dunia.

Bagaimanapun katanya, de­ngan mengambil kira panda­ngan semua pihak yang terlibat, kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan.

“PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar margin pengusaha stesen minyak yang merupakan satu kompo­nen di bawah formula meka­nisme harga automatik (APM) yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

“Sehubungan itu, pertimba­ngan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyua­rat pada 2 Januari 2019, dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, akan diperoleh ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang pa­ling optimum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng juga berkata, Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat.

Ramai pihak sebelum ini menjangkakan harga petrol khususnya RON95 akan menurun kepada RM1.90 seliter susulan harga minyak dunia yang menjunam daripada AS$77 se­tong pada 10 Mei lalu kepada AS$54 setong ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN