TEMERLOH 12 Jan. – Kira-kira dua jam sebelum diumumkan sebagai Sultan Pahang keenam dalam era moden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mencemar duli menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Presiden Persatuan Jurulatih Olahraga Malaysia, Datuk Mohd. Musa Noor.
Baginda yang ditemani Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Chee di sini bagi menghadiri majlis tersebut.
Baginda berdua turut merenjis air mawar kepada pasangan pengantin Mohd. Zharfan Mohd Musa, 27, dan Nur Sabrina Mohd. Aseraf, 21, sebelum menjamu selera.
Baginda sempat melapangkan masa untuk beramah-mesra dan bergambar bersama tetamu yang menghadiri majlis berkenaan.
Baginda mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk ahli keluarganya serta meminta agar penduduk di negeri ini menjaga kesihatan, keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat.
Tengku Abdullah dan Tengku Puan Pahang meninggalkan majlis kira-kira pukul 1.50 petang.
Sementara itu, Mohd. Musa berkata, keluarganya amat bertuah kerana baginda sudi mencemar duli memeriahkan majlis perkahwinan anak ketiganya daripada enam beradik.
“Ini detik yang sangat manis bagi keluarga kami. Saya menjunjung kasih mengucapkan jutaan terima kasih kepada baginda berdua kerana sudi mencemar duli walapun ada majlis rasmi di Istana Abu Bakar kira-kira dua jam lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.










