GRO Thailand, Vietnam ditahan dalam Operasi Bersepadu DBKL - Utusan Malaysia

GRO Thailand, Vietnam ditahan dalam Operasi Bersepadu DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sekumpulan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand dan Vietnam antara yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Pusat Hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Dalam serbuan yang bermula pada pukul 1 pagi dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi itu disertai oleh 65 pegawai daripada pelbagai agensi antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, seramai 21 wanita Thailand dan tiga wanita Vietnam berusia antara 20 hingga 35 tahun telah ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Imbi di sini.

“Turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 38 tahun yang disyaki merupakan penjaga mereka kerana ketika serbuan dilakukan mereka cuba melarikan kesemua wanita tersebut dengan kereta.

“Mereka cuba menaiki dua kereta untuk melarikan diri tetapi berjaya dihalang oleh pegawai penguatkuasa yang menyerbu pusat hiburan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tersebut di sini pagi tadi.

Azman menambah, tarikan utama di pusat hiburan tersebut adalah layanan GRO yang menggunakan kaedah bayaran selepas layanan.

“Gadis yang selesai melayan pelanggan mereka akan naik ke atas pentas dan pelanggannya akan mengalungkan selempang dengan harga bermula daripada RM100 hingga RM10,000.

“Harga tersebut akan dimasukkan di dalam bil mereka dan dibayar di kaunter. Mereka juga boleh mengulangi layanan daripada GRO yang sama jika berpuas hati,” ujarnya.

Difahamkan pusat hiburan tersebut memohon lesen sejak awal bulan ini tetapi mereka sudah memulakan operasi sejak bulan November tahun lalu.

Dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan elit di Jalan Loke Yew di sini, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 50 pengunjung tempatan dan warga asing.

“Dua daripadanya positif dadah dan pihak JAWI turut menahan dua wanita berusia 20-an kerana didapati minum minuman keras.

“Ketika serbuan dilakukan, sedang berlangsung sambutan hari jadi seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk yang diraikan bersama keluarga dan rakan-rakannya,” katanya. – K! ONLINE

Selempang yang tertera harga bagi setiap GRO setelah selesai layanan kepada pelanggan mereka.
Selempang yang tertera harga bagi setiap GRO setelah selesai layanan kepada pelanggan mereka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×