GUA MUSANG – Kesedaran mencegah penyakit bawaan maut berkaitan nyamuk aedes di kawasan luar bandar di negeri ini dilihat semakin meningkat.
Seramai 300 orang penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kesedar Jaya dan Taman Damar di sini telah menyertai program gotong-royong keselamatan bagi mencegah dan mengawal penyakit denggi, hari ini.
Program itu merupakan anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang bersama beberapa agensi lain seperti Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Gotong-royong yang bermula pada 8.30 pagi itu menyaksikan kerjasama penduduk membersihkan sampah sarap dan longkang yang tersumbat bagi memastikan tiada sampah dan air yang bertakung.
Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang, Zulkarnean Isa berkata, sebanyak satu tan sampah berjaya dikumpulkan sepanjang gotong-royong yang berjalan selama dua jam itu.
Katanya, program berkenaan selari dengan kempen ‘Kelantanku Bersih’ yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri tahun lalu.
“Kita berasa bangga dengan kerjasama yang diberikan penduduk dan begitulah hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebuah negeri bersih sekaligus meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan.
“Kita melihat kadar sampah di daerah ini masih lagi terkawal apabila MDGM berjaya mengutip sebanyak 58 tan sampah setiap hari di sekitar bandar itu,” katanya ketika ditemui di Taman Kesedar Jaya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Kesedar Jaya, Norhisyam Efende Abdullah berkata, selain merapatkan hubungan kemasyarakatan, program tersebut dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk tentang kepentingan kebersihan persekitaran.
Katanya, sebelum ini terdapat beberapa kes terpencil berkenaan penyakit denggi yang melanda penduduk di taman perumahan itu, namun ianya dipercayai wabak dari kawasan luar.
“Kita melihat hubungan penduduk di taman ini tidak berasingan apabila golongan kanak-kanak sehinggalah warga emas bergabung tenaga bergotong-royong membersihkan kawasan rumah masing-masing,” katanya.
Seorang pesara kerajaan, Ibrahim Salleh, 61, pula berkata dia gembira apabila 70 peratus penduduk memberi komitmen terhadap program itu.
Katanya, penduduk bersyukur dan gembira kerana dapat keluar dan berhimpun mendengar ceramah daripada Pejabat Kesihatan tentang pencegahan nyamuk aedes. – K! ONLINE










