Gohan juara ayam ratu - Utusan Malaysia

Gohan juara ayam ratu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Jan. – Kesabaran Mohd. Roslan Mahammed Rafter menunggu selama tiga tahun sebelum dapat menyertai pertandingan akhirnya terubat apabila ayam jantan bernama Gohan miliknya dinobatkan juara keseluruhan Best Of The Best dalam Pertandingan Ayam Ratu Tertutup Kelantan 2019 di Kampung Kraftangan di sini kelmarin.

Sebelum dinobatkan juara keseluruhan tersebut, ayam milik Mohd. Roslan, 35, yang juga Timbalan Pengarah SME Corp Malaysia negeri memenangi salah satu daripada enam kategori dipertandingkan iaitu kategori Leung Hang Khaao (LHK) dewasa.

Mohd. Roslan yang berasal dari Tumpat berkata, pertandingan ayam ratu itu dianjurkan Kelab Ayam Ratu Kelantan (Karak) sejak 2016, namun dia tidak menyertai tiga edisi pertandingan terdahulu bagi mengelak timbul pertikaian memandangkan dia memegang jawatan sebagai Setiausaha Karak.

“Hujung tahun lalu, saya letak jawatan sebagai setiausaha kelab kerana dua faktor iaitu tuntutan kerja sebagai pegawai kerajaan yang semakin banyak dan kedua, kerana saya mahu bertanding.

“Saya mula memelihara ayam ratu pada 2015 dan pada peringkat awal, saya membeli tiga pasang ayam jenis LHK, Ghai Shi (GS) dan Super Green (SG) dari Thailand untuk mendapatkan anak-anak baka terbaik. Saya berjaya menjual anak ayam bernilai lebih RM20,000 kepada peminat ayam tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pertandingan itu di sini.

Mohd. Roslan berkata, selain Gohan yang berusia satu setengah tahun, dia turut membawa seekor lagi ayam iaitu Goten yang bertanding dalam kategori LHK muda.

Menurutnya, sebanyak 30 ekor ayam dalam reban di rumahnya dimandikan setiap hari selepas waktu bekerja bagi memastikan kecantikan dan kekemasan bulu pelepah haiwan tersebut kekal dalam keadaan baik.

“Ayam yang mahu dibawa bertanding perlu dijinakkan tiga bulan lebih awal. Kita perlu berhati-hati kerana ayam ratu tidak boleh duduk rapat sesama mereka kerana cenderung untuk berlaga, berbeza dengan ayam serama,” katanya.

Dalam pertandingan kelmarin, kategori LHK muda dimenangi Si Merah milik Noraidi Azhar, 29, kategori pelbagai roma dimenangi Enam Tujuh milik Mohd. Kamal Ibrahim, 29, kategori induk dimenangi Ella milik Nuq Thaimalay, 34, kate­gori warna jitu dimenangi Putra Alam milik Mohd. Ram Saiful Azmi Saamah, 36, dan kategori anak-anak ayam ratu dimenangi ayam dimiliki Salman Yusoff, 27.

Sementara itu, Pengerusi Karak, Kamaruzaman Hassan berkata, pertandingan anjuran pihaknya itu adalah satu langkah alternatif bagi memben­dung aktiviti menyabung ayam yang mempunyai unsur perjudian serta penganiayaan kepada haiwan sekali gus membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

“Ayam ratu sebenarnya ber­asal daripada baka ayam yang pernah dimiliki Raja Thailand iaitu Raja Naresuan pada ketika dahulu dan antara baka terkenal adalah LHK, Super Green (SG), Ghai Shi (GS), Pradu Hang Dam (PHD), Thao Hang Khao (THK) dan lain-lain lagi.

“Pada tahun 2015 hobi memelihara ayam cantik ini mula menular ke negara kita antaranya ke Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan Karak menjadi kelab ayam ratu pertama yang ditubuhkan pada 2016 di bawah pimpinan pengerusi pertama, Shahidan Sapri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN