GM Klang rai anak yatim sempena ulang tahun ke-10 - Utusan Malaysia

GM Klang rai anak yatim sempena ulang tahun ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 100 anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari di Kampung Melayu Subang, di sini dirai dalam satu majlis anjuran pusat pemborong terbesar, GM Klang hari ini.

Ketua Pegawai Kewangan GM Klang, Foo Loke Ping, berkata majlis ini dianjurkan sempena ulang tahun pusat pemborong ke-10 dan juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahun syarikat itu.

“Pada hari ini, pihak kami bersama Kelab Sukan GM Group datang meluangkan masa bersama mereka dengan mengadakan aktiviti sukaneka. Selain itu, kita juga membuat sedikit sambutan hari jadi untuk anak-anak yang lahir pada bulan ini.

“GM Klang juga turut menyumbangkan bantuan ikhlas berbentuk barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang, susu, makanan serta wang tunai yang berjumlah RM1,000 kepada pusat jagaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengurus pusat jagaan tersebut, Ummu Khalsum Abd. Ghani, berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan daripada syarikat GM Klang serta meraikan anak-anak yang berada di pusat jagaan terbabit.

“Kita amat mengalu-alukan aktiviti seperti hari ini kerana sekurang-kurangnya anak-anak ini dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti bersama pihak luar.

“Bila orang hadir bermain bersama-sama mereka akan lebih gembira. Tambahan pula, ada aktitivi luar yang membuatkan anak-anak ini lebih seronok,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perbelanajaan pusat itu, beliau berkata, rumah jagaan itu memerlukan perbelanjaan sekitar RM45,000 bagi keempat-empat cawangannya.

Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari mempunyai empat cawangan termasuk satu di Kampung Melayu Subang dan tiga lagi di Subang Dua, mempunyai 100 orang penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf yang berumur dari setahun sehingga 17 tahun.

Orang ramai atau syarikat korporat yang ingin menyumbang kepada pusat jagaan ini boleh terus menghubungi pusat jagaan terbabit ditalian 016-2516515. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN