KUALA LUMPUR 5 Jan. – Denda di antara RM300 hingga RM1,200 akan dikenakan kepada individu yang mahu menggantikan pasport ekoran kehilangan dan kerosakan dokumen perjalanan itu.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember tahun lalu, perintah denda tersebut telah berkuatkuasa pada Rabu lalu.
Menurut perintah itu, individu yang mahu membuat penggantian pasport buat kali pertama ekoran kehilangan dan kerosakan dokumen itu akan dikenakan denda sebanyak RM400.
Manakala kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang belajar di luar negara pula akan dikenakan denda sebanyak RM300.
Bagi penggantian pasport kali kedua pula, denda sebanyak RM700 akan dikenakan manakala sebanyak RM600 dikenakan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun ke bawah yang belajar di luar negara.
Untuk penggantian pasport buat kali ketiga dan seterusnya, setiap individu itu akan dikenakan denda sebanyak RM1,200 manakala denda RM1,100 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang belajar di luar negara.
Perintah tersebut disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara dan dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar. – UTUSAN ONLINE










