PUTRAJAYA – Peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan proses-proses penjalanan pilihan raya terutama melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih tidak terjejas dengan kekosongan jawatan ahli-ahlinya.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ia berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan serta mengikut nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini.
Menurutnya, di bawah peruntukan itu, fungsi yang dilaksanakan oleh Pengerusi SPR adalah fungsi suruhanjaya tersebut dan ia wajar dijalankan secara kolektif sekiranya tidak berlaku kekosongan disebabkan oleh kehendak undang-undang.
“Memandangkan kekosongan enam ahli SPR buat masa ini merupakan kekosongan di bawah perundangan, maka Pengerusi SPR dalam keadaan sedemikian boleh melaksanakan fungsi-fungsi suruhanjaya ini.
“Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan itu juga dengan jelas menyatakan bahawa ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan Suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat pada masa itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan kelayakan serta kedudukan SPR dalam menentukan proses-proses penjalanan pilihan raya berikutan berlakunya kekosongan jawatan ahli-ahli suruhanjaya dan masih belum diisi sehingga hari ini.
Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, Mahkamah Rayuan sebelum ini juga telah memutuskan bahawa adalah menjadi niat perundangan bahawa SPR dibolehkan untuk wujud dan berfungsi secara sah walaupun dalam keadaan di mana kurang daripada tujuh ahli suruhanjaya dan jika berlakunya kekosongan.
Beliau menegaskan, sebagai Pengerusi SPR, jawatan itu masih boleh berfungsi seperti mana dalam keadaan sekarang iaitu sekiranya hanya tinggal Pengerusi seorang sahaja.
“Dengan ini, kuasa dan prosiding SPR secara sahnya tidak terkesan dengan apa-apa bilangan kekosongan yang berlaku.
“Dan segala keputusan yang dibuat adalah sah dan dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – K! ONLINE










