KUALA LUMPUR 30 Jan. – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 iaitu F:30 apabila mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak (FA) England di Stadium Wembley, London, hari ini.
Menerusi kenyataan yang dipetik dalam akaun Facebook FAM, antara intipati pertemuan tersebut adalah mengenai kemungkinan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua persatuan yang merangkumi aspek teknikal dan bola sepak akar umbi, pembangunan pengadil serta tanggungjawab sosial.
“FAM turut berbincang mengenai peluang untuk belajar daripada FA England berhubung pembangunan pusat latihan kebangsaan yang merupakan sebahagian perancangan FAM dalam beberapa tahun mendatang.
“Pertemuan dengan FA adalah salah satu usaha FAM untuk menjalin kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak antarabangsa tertentu dari seluruh dunia dalam membantu badan induk bola sepak negara memajukan sukan No. 1 negara itu di Malaysia dan pada masa sama dapat merealisasikan sasaran yang ditetapkan dalam F:30,” kata kenyataan tersebut.
Pada pertemuan itu, FA England telah diwakili oleh Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa & Korporat, Robert Sullivan; Pengarah Perhubungan Perlawanan Profesional, Andy Ambler dan Ketua Perhubungan Antarabangsa, Jane Bateman yang telah menerima kunjungan FAM.
Wakil FAM pula terdiri daripada Presiden, Datuk Hamidin Mohd. Amin; Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam; Exco, ACP Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan Ketua Unit Pengadil, Kassim Kadir Bacha.
Turut serta, wakil daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Shazli Shaik Mohd. – UTUSAN ONLINE











