LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan sedang ‘pening kepala’ untuk menyelesaikan masalah di benteng pertahanan skuad The Reds menjelang aksi Liga Perdana England (EPL) menentang Crystal Palace di Stadium Anfield malam ini.
Liverpool ketika ini kehilangan khidmat pemain pertahanan kanan, Trent Alexander-Arnold yang disahkan mengalami kecederaan pangkal paha sekali gus menyaksikan dia menyertai pemain pertahanan yang lain iaitu Joe Gomez, Dejan Lovren serta Joel Matip di luar padang.
Situasi itu menyaksikan Klopp mungkin terpaksa menggunakan pemain tengah serba boleh, Fabinho untuk mengisi tugas di posisi pertahanan buat kali kedua selepas mempamer aksi cemerlang ketika pertembungan dengan Brighton Sabtu lalu.
“Fabinho seorang pemain yang bijak. Mempunyai pemain yang hebat dan mampu beraksi di pelbagai posisi di atas padang sudah pasti memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan.
“Dia memiliki kualiti ketika bertahan dan boleh membantu melakukan serangan. Jadi sudah tentu saya gembira kerana dia berada dalam pasukan ini,” jelas Klopp.
Sebelum ini, Fabinho, 25, pernah beraksi di posisi pertahanan kanan ketika bersama skuad Brazil sebelum diletakkan di posisi tengah ketika mewakili Monaco.
Dalam pada itu, Fabinho berkata, dia bersedia untuk menawarkan diri beraksi di posisi pertahanan sekali lagi selepas sedar krisis kecederaan yang melanda pasukannya ketika ini.
“Apabila Lovren cedera, saya rasa saya adalah individu yang sesuai menggantikan tempatnya kerana saya ada pengalaman beraksi di posisi tersebut,” katanya. – Agensi.










