RAWANG 19 Jan. – Kumpulan Ensany Global menghulurkan sumbangan sebanyak RM15,000 dalam bentuk tunai dan barangan kepada Pertubuhan Pusat Jagaan Rumah Amal Titian Baiti Al-Jannah, sebuah rumah kebajikan anak-anak orang kurang upaya (OKU), gelandangan dan tidak sah taraf.
Ketua Pegawai Eksekutif Ensany Global, Dr. Imad Barakat berkata, sumbangan itu turut diberikan kepada seorang penghuni rumah berkenaan, Muhamad Adam Haikal, 11, yang menghidap lima penyakit kronik iaitu Thalasemia, Hydrocapfalus, kerosakkan saraf, kerosakkan buah pingang serta paru-paru berair.
“Sumbangan ini diberikan bagi membantu rumah amal tersebut selain menampung kos rawatan Muhamad Adam yang memerlukan penggantian darah baharu.
“Saya juga menyeru lebih banyak pihak luar sama ada swasta atau persendirian untuk tampil menyatakan sokongan dan menghulurkan bantuan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya di sini hari ini.
Yang turut hadir Penasihat Ensany Group, Zainal Abidin Malim.
Terdahulu beliau bersama kira-kira 10 orang deligasi dari Ensany Global meluangkan masa selama dua jam meraikan anak-anak kurang bernasib baik di rumah amal tersebut. – UTUSAN ONLINE










