Empat lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM2.14 juta - Utusan Malaysia

Empat lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM2.14 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah selepas merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM2.41 juta dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang pada Rabu lalu.

Dalam serbuan bermula pukul 10.30 malam itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 33 tahun yang dipercayai aktif melakukan kegiatan haram tersebut sejak setahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dua lelaki ditahan pada serbuan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, namun tiada sebarang rampasan dibuat.

Katanya, susulan itu polis menahan dua lagi lelaki di sebuah rumah di Wangsa Maju sebelum membawa kepada penemuan dadah di dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan kawasan perumahan terbabit.

“Bertindak atas maklumat, polis menyerbu dua buah kondominium di Seksyen 13 dan Industrial Park di Shah Alam, Selangor sebelum merampas sejumlah dadah.

“Secara keseluruhan, sebanyak 19.6 kilogram (kg) heroin base, 11.8kg heroin, 1.5kg syabu, 4,250 biji pil eramin 5 dan 3,380 biji pil ekstasi yang bernilai RM2.14 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati sindiket itu menyeludup dadah dari negara jiran melalui negeri di Pantai Timur untuk diedarkan kepada penagih sekitar Lembah Klang.

“Hasil siasatan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 24 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×