MIRI – Gara-gara panik, seorang eksekutif jualan kerugian RM3,999.62 setelah diperdayakan oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Bank Negara Malaysia semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang lelaki berusia 36 tahun dihubungi suspek memperkenalkan diri dengan nama Khoo Waiy Keat yang menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon 03-58172643.
“Mangsa diberitahu mempunyai tunggakan pinjaman selama tiga bulan berjumlah RM2,495.15 namun dinafikan mangsa kerana mangsa tidak pernah membuat sebarang pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustafa berkata, dalam keadaan panik mangsa telah mengikut arahan pemanggil dengan membuat pemindahan wang menerusi ATM dari dua akaun milik mangsa ke akaun Ambank yang telah diberikan oleh suspek dan setelah menyedari ia hanya panggilan Macau Scam, mangsa membuat laporan polis.
“Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid.rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan seumpamanya,” katanya lagi. – Bernama










