KUALA LUMPUR 18 Jan. – Pasangan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kini sudah mula mengintai peluang untuk merangkul kejuaraan selepas melakar kejuatan dengan menyingkirkan pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda untuk berada di separuh akhir kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters, hari ini.
Aksi di Axiata Arena, di sini menyaksikan gandingan No.2 negara itu menyingkirkan Kamura-Sonoda 21-19, 21-16 dan akan berdepan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekiranya mereka menewaskan pasangan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
“Ini kali pertama kami kami masuk semi final jadi sekarang ini kami perlu terus fokus untuk ke final dan kalau boleh jadi juara. Memang itu harapan kami.
“Dalam perlawanan ini memang kami tidak banyak fikir dan hanya buat sebaik mungkin. Sokongan penonton di sini sememangnya menjadi pembakar semangat buat kami,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE










