Dua warga asing mengaku tidak bersalah simpan rokok seludup - Utusan Malaysia

Dua warga asing mengaku tidak bersalah simpan rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Dua lelaki masing-masing warga India dan Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datuk di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan rokok seludup, awal Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mahmmed Asruddeen Karike Basheer dan Riza Rifari masing-masing berusia 26 dan 20 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Isa Md Nor.

Mengikut pertuduhan, Mahmmed Asruddeen didakwa menyimpan barangan larangan iaitu 1,380 batang rokok putih pelbagai jenama antaranya Concept dan Manchester bernilai RM107.20.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Bukit Changgang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 2 Januari lalu.

Sementara, Riza Rifari didakwa atas kesalahan sama kerana menyimpan 1,600 batang rokok putih jenis Manchester sebanyak 1,600 batang bernilai RM128 di sebuah premis di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 3 Januari lalu. 

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Muhammad Khairul Farhan Rakbi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, T. Mishant.

Mohd. Isa kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Februari depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN