ALOR SETAR 30 Jan. – Perbuatan dua lelaki disyaki menjadi ulat tiket menerima padah apabila dicekup anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, salah seorang daripada mereka dipercayai menghampiri anggota JPJ yang menyamar dan menawarkan tiket bas bagi perjalanan ke Kuala Lumpur di luar kaunter jualan.
Pengarah JPJ negeri, Isma Suhaimi Sharif berkata, lelaki berkenaan juga dipercayai menggunakan pendekatan mendesak, supaya pelanggan membeli tiket bas dengan mereka.
“Kegiatan ulat tiket dikesan berlaku di beberapa stesen bas di negeri ini termasuk di Sungai Petani dan kita percaya kegiatan itu akan bertambah serius menjelang musim-musim perayaan.
“Dua lelaki berusia 36 dan 42 tahun itu ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 iaitu melakukan kesalahan memujuk atau mendesak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Isma Suhaimi, JPJ kini melakukan operasi sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula semalam hingga 12 Februari ini bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk aktiviti ulat tiket.
Tambahnya, kedua-dua lelaki itu kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum proses pendakwaan diteruskan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










