KUALA LANGAT – Seorang peniaga terpaksa meringkuk dipenjara selama enam bulan kerana gagal membayar denda RM100,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, hari ini.
Tertuduh, Muhammad Amin,24, sebelum itu didenda RM100,000 oleh Majistret Mohd. Isa Mohd. Nor selepas membuat pengakuan tersebut kerana memiliki 9,960 batang rokok seludup pelbagai jenama berjumlah RM878.40, minggu lalu.
Mohd. Isa memerintahkan Muhammad yang berasal dari Aceh, Indonesia itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut dan tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, kesemua rokok terbabit juga dilucutkan hak dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 9,960 batang rokok itu dari 13 jenama rokok iaitu Zon King, Pine Prime, Canyon, Canyon Menthol, Winston Classic, Winston Blue, Winston Deep Blue, John 17G, Luffman Hijau, Gudang Garam Surya, La Bold, Djanum Super dan Gudang Garam Nusantara.
Perbuatan itu dilakukan di Kedai Runcit Mansur Bin Sahudin di Taman Datuk Hormat, Teluk Panglima Garang, dekat sini, pukul 9.30 malam, 16 Januari lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam terdahulu merayu hukuman diringankan susulan perlu menyara seorang isteri dan dua anak masing-masing berusia empat tahun dan dua minggu serta menjaga ibunya.
Dalam prosiding kes berlainan, Mohd. Isa turut menjatuhi penjara enam bulan terhadap seorang lagi peniaga warga Aceh, Fadhil Rahmat, 27, selepas mengaku bersalah memiliki 17,200 batang rokok seludup pelbagai jenama berjumlah RM1,760.
Fadhil didakwa memiliki rokok seludup jenama iaitu Djarum Black Mild, Gudang Garam 12, Gudang Garam 16, Bohem Cigar No.6, Bohem Cigar Libre, Canyon Merah dan Luffman Gold di Taman Datuk Hormat, Teluk Panglima Garang, pukul 10.30 malam, 16 Januari lalu.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Fadhil diwakili peguam Vitiya Monisha manakala pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Lukman Ripin. -K! ONLINE










