MANILA 30 Jan. – Hanya berselang tiga hari, sebuah lagi tempat beribadat di Filipina diserang bom tangan hingga meragut dua nyawa manakala empat lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah masjid di selatan Filipina, awal pagi ini.
Ketika serangan bom tangan tersebut, kesemua mangsa sedang tidur di masjid yang terletak di bandar Zamboanga, Mindanao, sebuah kepulauan yang didiami majoriti umat Islam.
Menurut pihak berkuasa, tiada petunjuk yang mengaitkan serangan di masjid di bandar Zamboanga itu sebagai serangan balas ke atas pengeboman sebuah gereja di Jolo, baru-baru ini.
“Kami masih menyiasat dan belum menjumpai hubung kait antara kedua-dua kejadian itu.
“Sebelum ini gereja dibom dan tiada kaitan serangan balas dendam,” kata Setiausaha Kementerian Pertahanan, Delfin Lorenzana kepada pemberita, di sini hari ini.
Berdasarkan rakaman video di lokasi kejadian, terdapat percikan darah pada sejadah, kaca pecah bertaburan di lantai masjid manakala pasukan bersenjata berkawal di kawasan berkenaan.
Letupan itu berlaku selepas negara yang majoriti rakyatnya beragama Kristian tersebut masih berwaspada ekoran serangan bom yang meragut 21 nyawa Ahad lalu dalam serangan didalangi kumpulan militan Daesh.
Pihak berkuasa sedang mengenal pasti suspek terlibat dan sehingga kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di masjid terbabit. – AFP










