ALOR SETAR – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai mengugut mahu merogol dan membunuh jiran dan anak perempuannya dalam kejadian di Taman Tiong, Kulim malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 24 hingga 41 tahun terbabit ditahan di depan rumah mangsa pada pukul 12.15 tengah malam, selepas wanita berusia 47 tahun itu membuat laporan polis.
Ahmad Nasir berkata kejadian bermula pada pukul 9.30 malam apabila jiran mangsa bersama lapan individu lagi yang tidak dikenali meletak dua kenderaan di depan rumah mangsa dan melemparkan perkataan tidak senonoh terhadap anak perempuan mangsa sambil minum arak.
“Seorang lagi anak lelaki mangsa yang baru pulang dan mahu meletakkan keretanya di depan rumah turut ditahan dan dimaki.
“Seorang daripada anak mangsa telah menghubungi kereta peronda polis dan beberapa suspek yang berang telah bertindak masuk ke dalam rumah mangsa sebelum seorang daripada mereka mengugut mahu merogol mangsa dan anak perempuannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi suspek yang dikenali mangsa turut bertindak mencekak baju menantu lelakinya sebelum mengugut mahu membunuh menantu dan anak lelakinya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat. – Bernama










