WASHINGTON 22 Jan. – Krisis penutupan operasi kerajaan atau shutdown yang berlaku sejak 22 Disember lalu memberi kesan besar terhadap kira-kira 800,000 kakitangan Persekutuan di negara ini.
Berlarutan selama lebih sebulan, hampir separuh daripada mereka terpaksa bekerja tanpa gaji termasuk anggota pengawal pantai dan inspektor keselamatan makanan.
Lapor New York Times atau NYT, kebanyakan pekerja terpaksa menuntut faedah pengangguran daripada kerajaan bagi menampung perbelanjaan kehidupan seharian.
Di kebanyakan agensi kerajaan yang kritikal, termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negara, Pengangkutan dan Jabatan Negara, bilangan pekerja yang terjejas masih minimum namun di tempat lain, impaknya jelas kelihatan.
Taman Negara tiada lagi mempunyai pengawal keselamatan, beberapa muzium dan sesetengah laluan pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang turut ditutup.
BANK MAKANAN ‘SUMBER REZEKI’
Selain itu, lapor USA Today, kira-kira 10 peratus pekerja Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) dilaporkan tidak dapat hadir bekerja semalam kerana kekangan kewangan.
Menurut TSA, angka itu lebih tinggi berbanding 3.1 peratus pekerja tidak hadir pada hari yang sama pada tahun lalu.
Pekerja TSA sebelum ini menerima bantuan makanan berupa piza daripada Persatuan Kawalan Trafik Udara Kanada pada minggu lalu.
Lapor BBC, segelintir pekerja terpaksa bergantung kepada hasil penjualan tanah, bank makanan serta makanan percuma yang disediakan oleh beberapa restoran dan pinjaman bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Terdapat juga pekerja yang mengumpul wang menerusi sumbangan orang ramai atau ‘crowdfunding’.
Menurut jurucakap GoFundMe, lebih 1,500 kempen ‘crowdfunding’ telah dijalankan sejak krisis shutdown bermula.
MINTA SUMBANGAN, JADI PEMANDU UBER
Seorang pekerja di Biro Pengurusan Tanah, Angela Kelley berkata, dia terpaksa meminta sumbangan orang ramai untuk mendapatkan duit bagi menyara kehidupannya serta seorang cucu perempuannya yang berusia tiga tahun.
Kelley juga terpaksa bekerja sebagai pemandu Uber tetapi disebabkan kecederaan lutut yang dialaminya, dia tidak mampu memandu dalam tempoh masa yang lama.
Dalam tempoh dua minggu sejak dia menjalankan kempen ‘crowdfunding’, Kelley mampu mengumpul lebih AS$1,000 (RM4,122).
“Saya tidak boleh tunggu lebih lama lagi. Ini bukanlah cara untuk meneruskan hidup,” katanya yang tinggal di Milwaukee.
TANGGUH NIAT BELI RUMAH, KAHWIN
Sementara itu, seorang kontraktor di Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), Anna Cory terpaksa menangguhkan niatnya untuk membeli rumah dan berkahwin tahun ini ekoran krisis terbabit.
“Saya tidak tahu bagaimana mahu merancang lagi,” kata Cory yang tinggal di Carolina Utara.
Cory juga merupakan salah seorang yang menjalankan kempen ‘crowdfunding’ dan sudah mula memohon pekerjaan di tempat lain.
“Saya berasa sedih, namun untuk mendapatkan pekerjaan lain yang lebih stabil, saya terpaksa mencari peluang lain,” jelasnya.
KEUNTUNGAN BISNES MEROSOT
Miloud Benzerga, pemilik Kafe Timgad, sebuah kedai kopi yang terletak di tingkat bawah bangunan Persekutuan di Washington, beberapa blok dari White House.
Dia memberitahu al-Jazeera, keuntungannya merosot 70 peratus sejak krisis shutdown bermula.
“(Dengan krisis shutdown), kita boleh kehilangan segala-galanya,” katanya.
Kebimbangan Benzerga turut diakui beberapa pegawai perbandaran. Pengerusi Majlis Persekutuan Washington, Phil Mendleson berkata: “Semakin lama, semakin besar kita akan lihat beberapa restoran kecil dan perniagaan kecil lain akan ditutup.”
SEWA RUMAH, BIL BELENGGU KEHIDUPAN
Di Detroit, seorang kakitangan kerajaan, Gregory Simpkins memberitahu, minggu depan adalah saat genting dan bakal bertukar ‘mod panik’.
“Bagaimana kita hendak bayar sewa rumah, hendak bayar bil-bil?” soalnya.
Susulan itu, kesatuan yang mewakili pekerja telah menjalankan protes di seluruh negara bagi menuntut kerajaan menamatkan krisis shutdown.
RISAU BIL PERUBATAN
Taylor Gautreaux, yang bakal melahirkan anak pada Mac ini, bekerja dalam bidang pembangunan perisian untuk sebuah syarikat swasta di bawah kontrak kerajaan.
Selepas kerja-kerja beliau terhenti susulan krisis berkenaan, dia diberitahu oleh syarikatnya untuk mengambil cuti tanpa gaji selain dinasihatkan mencari kerja lain.
“Dengan keadaan saya yang sarat mengandung dan akan cuti bersalin, siapa yang akan mahu mengambil saya bekerja? Krisis ini memberi kesan yang dahsyat. Hendak bayar pinjaman beli kereta, bil perubatan dan tidak lama lagi saya akan melahirkan anak.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak membayar bil perubatan. Shutdown menimbulkan tekanan kepada saya yang hamil ini,” katanya kepada Time. – AFP/AGENSI










