JOHOR BAHRU 19 Jan. – Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (Perusim) berharap pihak berkuasa akan mendedahkan senarai restoran mamak yang terlibat dalam operasi mereka dan bukan menggunakan perkataan restoran mamak secara umum.
Setiausaha Perusim, Hussien Ibrahim berkata, penggunaan restoran mamak secara umum memberi implikasi negatif kepada pihak yang tidak terlibat.
Katanya, kesan daripada perkara itu keuntungan restoran mamak telah berkurangan melebihi 20 peratus sejak kebelakangan ini.
“Sejak kebelakangan ini, persepsi masyarakat terhadap restoran mamak dipandang serong akibat beberapa isu yang tular khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.
“Apa yang kami harapkan adalah pihak berkuasa mendedahkan nama restoran untuk diketahui umum dan bukan sekadar menyebut restoran mamak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perusim Negeri Johor, Nasar Khan M. E. Abd. Kadhim; Setiausaha Perusim, Hussein Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Perusim, Habeebullah M. E. Abd. Kadhim.
Baru-baru ini tular isu kebersihan dan status halal restoran mamak diragui dan berikutan itu pihak berkuasa tempatan melakukan operasi bersepadu dengan memeriksa restoran-restoran mamak di sini.
Kelmarin sebuah restoran mamak yang beroperasi hampir 18 tahun di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan.










