KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu menyelesaikan 70 kes di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) sejak dilaksanakan pada 1 Jun lalu, dengan jumlah penyaluran faedah mencecah RM33,752.
Pengarahnya, Hisham Abdul Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan manfaat skim berkenaan semakin dirasai pencarum yang ditimpa kemalangan atau musibah di luar waktu bekerja.
Menurutnya, menerusi LINDUNG 24 Jam, pencarum turut dilindungi sekiranya berlaku kemalangan ketika melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pekerjaan termasuk aktiviti hobi seperti memancing.
“Dengan adanya perlindungan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja ini, apa-apa aktiviti atau kemalangan yang berlaku dan tidak berkaitan dengan pekerjaan turut dilindungi, asalkan mereka mencarum di bawah skim berkenaan.
“Perlindungan berkenaan memberi jaminan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk ketika berada di luar waktu bekerja,” katanya .
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Faedah Perkeso di bawah Skim LINDUNG 24 Jam kepada balu Allahyarham Amirul Fahmi Wan Jusoh di Kampung Paloh , di sini.
Allahyarham Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, maut bersama anak sulungnya selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, pada 26 Ogos lalu.-UTUSAN.










