Cubaan seludup rokok bernilai RM108,000 gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seludup rokok bernilai RM108,000 gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Tindakan pantas Pasukan Risik Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah mengesan tindakan mencurigakan dua lelaki membawa kepada penemuan aktiviti penyeludupan rokok yang dianggarkan bernilai RM108,000 di Sungai Kampung Sawah, Banting, dekat sini semalam.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, aktiviti itu dikesan selepas pasukannya membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira pukul 11.30 malam.

“Suspek yang ternampak kehadiran anggota polis kemudian melarikan diri dan selepas pemeriksaan dilakukan, kami menemukan 36 kotak yang mengandungi 50 karton rokok pelbagai jenama di dalam setiap kotak dengan nilai dianggarkan RM108,000.

“Kesemua rokok berkenaan ditemukan di dalam sebuah bot dan semua barangan telah dirampas mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Operasi Nyah 1 di Selangor dan Johor, Abdul Ghani memberitahu, pihaknya telah menahan sebanyak 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak 1 Januari hingga hari ini.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan ialah 38 lelaki dan empat wanita yang berasal dari negara Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India.

“Semua yang ditahan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN