KUALA LUMPUR 2 Jan. – Tindakan mencerca, mengugut dan melemparkan kata-kata kesat kerana berlainan pandangan perlu ditinggalkan bagi menjayakan agenda Malaysia Baharu.
Ketua Biro Integriti Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, perbuatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa terbuka dalam dengan para ahli dan akar umbi.
“Rujuklah kembali kata-kata Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa setiap ahli parti mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing terutama ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketegasan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan perwakilan menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan nampaknya tidak disenangi ketua-ketua bahagian parti tersebut.
Menerusi laporan Malaysiakini semalam, beberapa ketua-ketua bahagian dikatakan berang dan sedang membincangkan usaha untuk menyingkirkan Syed Saddiq. – UTUSAN ONLINE










