CAMERON HIGHLANDS 19 Jan. – Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor tidak tertekan dengan kedatangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Menurutnya, beliau akan meneruskan kempen seperti biasa walaupun Mahathir dijadualkan akan turun berkempen di sini pada saat akhir pada 25 Januari ini.
“Mengapa saya perlu tertekan? Saya orang kecil dan Orang Asli sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bertemu para pengundi di Ringlet di sini hari ini.
Ramli turut berbual dengan calon Bebas, Wong Seng Yee yang berkempen di lokasi sama.
Ramli berkata, memasuki minggu kedua kempen, beliau akan memperkemaskan kempen di seluruh kawasan Parlimen Cameron Highlands.
Menurutnya, kempen dijalankan melalui program ramah mesra bersama orang ramai, bertemu dan menyapa mereka selain memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.
“Kempen yang dijalankan jentera BN bersama parti-parti kompenen lain dilakukan secara bersih dan saya positif dengan reaksi penduduk terhadap saya setakat ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










