CAMERON HIGHLANDS 12 Jan. – Dua calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang merupakan anak tempatan berazam membawa suara masyarakat setempat agar diberi perhatian dan mendapat pembelaan.
Seorang calon yang juga bekas pendidik, Sallehuddin Ab. Talib, 61, berkata, sebagai anak tempatan, dia lebih dekat dengan permasalahan setempat dan mahu menjadi wakil rakyat yang mampu mewakili semua bangsa di Parlimen itu.

“Saya mahu menjadi wakil rakyat untuk mereka. Saya adalah anak tempatan, anak peneroka Felda Sungai Koyan dan orang kampung yang pernah memberikan khidmat sebagai pendidik di sini.
“Saya mahu membantu membawa suara mereka kerana banyak isu yang diketengahkan sebelum ini, tetapi tiada pembelaan dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata di sini hari ini.
Sallehuddin yang menggunakan logo buku berkata, jika dipilih sebagai wakil rakyat, dia mahu mengetengahkan isu membabitkan masalah yang dihadapi golongan peneroka ekoran kejatuhan harga kelapa sawit dan getah.
Malah katanya, tumpuan juga akan diberikan terhadap isu alam sekitar dan komuniti Orang Asli yang mana penempatan mereka tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap selain keadaan sosioekonomi dan tahap pendidikan yang rendah.
“Sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat saya akan cuba membawa semua masalah itu dan sekarang saya sedang mencuba ke arah itu (untuk menang),” katanya yang menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah kanan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis.

Seorang lagi calon Bebas, Wong Seng Yee, 41, yang menggunakan logo cangkul berkata, dilahirkan dan membesar di kawasan tanah tinggi itu membolehkan dia melihat sendiri perubahan yang berlaku di kawasan tersebut.
Malah katanya, sebagai graduan Sarjana Sains Hortikultur dari University of Nebraska-Lincoln, Amerika Syarikat, bidang pertanian amat dekat dengannya dan mahu membawa ilmu yang dipelajari itu ke Cameron Highlands bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini.
“Saya akui menghadapi tekanan dan saingan yang kuat daripada tiga calon lain, namun melihat ini adalah peluang untuk saya menyuarakan isu bukan sahaja berkaitan petani malah semua peringkat masyarakat di sini, maka saya akan teruskan,” katanya.










