Buat aksi Superman, lima remaja ditahan - Utusan Malaysia

Buat aksi Superman, lima remaja ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Jan.- Walaupun hampir setiap hari operasi trafik dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun pengguna jalan raya terutama pelajar sekolah masih ‘berani’ melakukan aksi berbahaya dan lumba haram.

Terbaharu, lima remaja lelaki ditahan polis ketika melakukan aksi Superman di Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (Duke) di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, dalam Op Samseng Jalanan yang bermula pukul 2 pagi hingga 4.30 pagi itu, kelima-lima remaja berusia 17 dan 18 tahun tersebut dipercayai bersaing sesama sendiri dan menunggang motosikal secara berbahaya.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada mereka tidak mempunya lesen dan kesemua remaja itu ditahan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita juga menahan dua individu termasuk seorang kakitangan kerajaan kerana didapati menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran palsu dalam Op Motosikal di Jalan Genting Klang dan Jalan Raja Laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulkifli, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 218 saman membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi tersebut.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN