SENSASI kumpulan asal Korea Selatan terus menghangatkan dunia hiburan. Semakin banyak kemunculan kumpulan baharu di persada seni termasuk yang membuat kemunculan semula tahun lalu.
Melihat senarai yang bersaing di gelanggang seni K-pop, nama kumpulan BTS dan Blackpink antara yang menjadi perhatian. Tahun 2018 menyaksikan perjalanan seni dua kumpulan ini semakin memuncak.
Bukan hanya meraih populariti di negara sendiri, malah mereka turut mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Kemampuan mereka juga terbukti menerusi kolaborasi dengan nama besar industri muzik dunia.
Pastinya 2019 akan menyaksikan kedua-dua kumpulan ini terus menguasai dunia dengan pelbagai perancangan yang sudah diatur.
BTS sambung kontrak 2026
TAHUN 2018 banyak melakar sejarah indah buat BTS atau Bangtan Boys. Mereka bukan sahaja melakar kejayaan di Korea malah sudah ke peringkat antarabangsa. Kejayaan demi kejayaan membuktikan muzik berbeza bahasa bukanlah penghalangnya untuk mereka menempa nama di mana sahaja.
Kumpulan yang dianggotai oleh Suga, J-Hope, Rap Monster, Jimin, V, Jungkook dan Jin itu terus mencetuskan fenomena apabila menjadi kumpulan K-pop pertama berjaya mengungguli carta album Amerika Syarikat.
BTS yang memulakan perjalanan seni mereka pada 2013 itu turut mencipta sejarah penting apabila menduduki tangga pertama dalam carta muzik Billboard 200.
Malah, artis naungan syarikat pengurusan BigHit Entertainment itu menjadi artis K-pop pertama diberikan penghormatan berucap pada perhimpunan tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Entah dari mana, tiba-tiba muncul cerita kononnya kumpulan BTS ini akan dibubarkan dan khabar angin ini sedikit sebanyak menggusarkan hati kelab peminat yang dikenali dengan nama Army.
Namun, pada Oktober tahun lalu, mereka dikhabarkan telah memperbaharui kontrak eksklusif mereka bersama dengan BigHit Entertainment selama tujuh tahun lagi.
Dengan perkembangan positif itu dan atas sokongan penuh syarikat, BTS berjanji untuk terus melakukan yang terbaik dan membuka mata lebih ramai peminat seluruh dunia tentang kebolehan yang mereka ada.
Membuka tirai 2019, jadual seni kumpulan ini padat apabila mereka akan meneruskan konsert dalam siri jelajah.
Bakal memulakan jurnal kembara konsert BTS World Tour: Love Yourself di Jepun, mereka akan singgah ke Singapura dan beberapa negara lain selepas itu. Dikhabarkan semua tiket konsert mereka sudah habis dijual.
Selepas berjaya dalam beberapa siri koloborasi dengan artis luar negara seperti Steve Aoki dan Nicki Minaj, kumpulan ini merancang untuk menjalinkan lebih banyak koloborasi bagi tahun ini.
Malah sudah ada beberapa artis mengintai untuk bekerjasama dengan mereka antaranya penyanyi tanah air, Yuna yang menyatakan hasrat untuk mengadakan persembahan satu pentas dengan BTS.
Peminat pula pastinya menyambut baik cadangan tersebut dan teruja untuk melihat impian itu direalisasikan.
Kuasa wanita Blackpink
PENCAPAIAN Blackpink yang dianggotai empat gadis cantik iaitu Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa sepanjang 2018 tidak kurang hebatnya apabila berjaya mencipta fenomena hanya dalam tempoh dua tahun penubuhannya.
Popular dengan lagu Forever Young, Whitsle dan Boombayah, mereka turut mencipta fenomena dengan lagu Ddu-Du Ddu-Du. Menariknya mereka menjadi satu-satunya kumpulan K-pop wanita yang mempunyai empat lagu mendapat jualan tertinggi dalam carta Billboard World Digital.
Lagu Ddu-Du Ddu-Du yang dilancarkan pada 15 Jun tahun lalu itu turut mencatat rekod sebagai Muzik Video Korea Paling Banyak Ditonton Dalam Masa 24 Jam di dalam YouTube dengan jumlah tontonan sebanyak 36.2 juta.
Kelab peminat yang dikenali dengan Blinks pasti tidak sabar menanti 23 Februari hadapan. Masakan tidak, ia adalah kunjungan sulung kumpulan Blackpink ke Kuala Lumpur.
Bertempat di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, Blackpink akan menggegarkan pentas dengan membawa rangkaian lagu popular mereka.
Benarlah mereka ini suatu fenomena apabila semua 8,000 tempat duduk bagi konsert itu habis ditempah dalam tempoh dua hari selepas dijual. Hal itu menarik minat pihak penganjur untuk melanjutkan konsert itu sehari lagi.
Selain Kuala Lumpur, konsert Jelajah Dunia Blackpink 2019- In Your Area turut singgah di Bangkok, Jakarta, Hong Kong, Manila, Singapura dan Taipei.
Dikhabarkan konsert siri jelajah ini merupakan persediaan awal gadis-gadis jelitawan itu untuk melebarkan sayap ke Amerika Syarikat .
Menariknya Blackpink juga telah menandatangani perjanjian rekod global bersama Interscope Records dan ini bermakna semua aktiviti seni kumpulan ini di luar Asia akan diwakili oleh syarikat berkenaan dan Universal Music Group.
Selepas kejayaan duet bersama Dua Lipa menerusi Kiss and Make Up, kumpulan ini bersedia untuk terus menjalinkan kerjasama dengan lebih ramai artis dalam dan luar negara.
Mendepani 2019 ini, kumpulan sensasi itu terus mengimpikan untuk menjadi yang lebih terbaik. Bagi mereka, harapan peminat untuk melihat siri kejayaan pada tahun-tahun mendatang adalah suatu harapan yang tidak patut dipandang sepi.
Maka tidak hairanlah ramai yang menganggap Blackpink akan mencengkam dunia sepanjang 2019.










