'Betulkan niat, ikhlaskan hati' - Utusan Malaysia

‘Betulkan niat, ikhlaskan hati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Jan. – KEBOLEHAN ini anugerah Allah, ia datang tanpa diduga dan amat bersyukur kerana melaluinya juga saya dapat membantu masyarakat.

Itu dikongsi Sarjan Md. Nafir Jalil, 50, apabila ditanya mengenai kebolehannya menangkap ular sepanjang tempoh 20 tahun menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur.

Menceritakan lebih lanjut, kata Md. Nafir, segalanya bermula apabila muncul satu suara dalam mimpinya yang meminta dia berselawat sebanyak tiga kali sebelum berinteraksi dengan haiwan berbisa itu.

“Memang macam mengarut tapi itulah pengalaman saya. Yang peliknya, mimpi itu datang hanya selepas lima tahun saya berkhidmat dengan APM,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Md. Nafir, walaupun menganggap mimpi itu sekadar mainan tidur, hatinya tergerak untuk mencuba amalan itu keesokan harinya dan ia terbukti berkesan.

“Setiap kali berdepan dengan haiwan itu saya cuba betulkan niat, niat untuk tidak mencede­rakan sebaliknya ikhlas mahu membantu masyarakat.

“Sebelum itu saya memang ada terlibat dengan operasi menangkap ular tapi sentiasa gugup kerana tidak ada keberanian. Ular pun asyik lari bila nampak saya.

“Tapi selepas mempraktikkan amalan tersebut, saya se-perti memperoleh keberanian dan setiap ular yang saya temui se­perti faham dengan arahan dan permintaan saya,’’ katanya yang menggunakan teknik berbisik dan menggosok kepala untuk menundukkan ular.

Selain kebolehan menundukkan ular, bapa kepada tiga anak itu juga mampu menidurkan reptilia itu dengan menggunakan bau tangannya dan menggosok badan ular.

“Kebolehan itu juga datang entah dari mana. Saya tidak pernah mempelajarinya, cuma sekadar berharap dan berdoa dalam hati dan Alhamdulillah ia menjadi nyata.

“Kadang-kala ada yang tertidur sehingga 15 minit apabila dihidukan bau tangan saya,’’ katanya.

Walaupun mempunyai kemahiran yang jarang dimiliki orang lain, kelebihan itu tidak menjamin ‘kekebalan’ bahkan beliau telah banyak kali dipatuk ketika menangkap ular.

“Pengalaman dipatuk ini mungkin perkara yang kerap berlaku kepada mereka yang berke­cimpung dalam tugas ini.

“Ada banyak kesan patuk di badan saya. Memang sakit bila terkena, kadang-kala kesakitan itu berlarutan sampai 10 jam sebelum reda sepenuhnya,’’ katanya.

Antara kenangan yang tidak dilupakan beliau adalah ketika menangkap ular sawa sepanjang kira-kira 20 kaki dengan berat 140 kilogram.

“Ular yang baru sahaja membaham seekor kambing itu memerlukan 12 orang anggota untuk mengangkatnya,’’ ujarnya.

Md. Nafir berkata, selain beliau, anak keduanya yang berusia 26 tahun turut menyertai agensi berkenaan dan turut berkongsi minat yang sama iaitu menangkap ular.

Md. Nafir Jalil perbetulkan niat ,ikhlas berdepan dengan reptilia berbisa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN